Home Politik AMK kecam penggugat kestabilan Selangor

AMK kecam penggugat kestabilan Selangor

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam sekeras-kerasnya pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menggugat kestabilan Kerajaan Negeri Selangor dengan penyebaran berita palsu.

Ketuanya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tindakan tersebut didakwa didalangi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Ini tidak lain tidak bukan dikerjakan oleh perkakas UMNO-BN yang menggunakan laman web picisan dan cybertrooper untuk menyebarkan spekulasi yang langsung tidak berasas ini.

“Malangnya Perdana Menteri sendiri menyambung fitnah ini, membuktikan siapa sebenarnya di belakang serangan ke atas Kerajaan Negeri Selangor,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari PKR didakwa dijangka melompat parti yang dilaporkan dalam sebuah blog.

Mereka dikatakan akan menyertai kerajaan campuran bersama BN dan Pas dengan menamakan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi sebagai calon menteri besarnya.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, kerajaan negeri Selangor pada masa ini telah diberikan mandat besar oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Berpegang pada amanah ini, kerajaan negeri Selangor juga telah berjaya melaksanakan tugas berdasarkan manifesto yang dijanjikan,” jelasnya.

Katanya lagi, perbezaan pandangan yang wujud dalam kalangan masyarakat majmuk di Selangor tidak menghalang kerajaan negeri melaksanakan tugasnya.

“Perbezaan pandangan yang wujud itu hanyalah intipati demokrasi yang matang, tetapi ia tidak menghalang Kerajaan Negeri untuk menumpukan kepada isu yang disepakati bersama demi melaksanakan amanah rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast