KUALA LUMPUR – DAP bukan parti yang memperjuangkan nasib kaum Cina, sebaliknya memecah belahkan lagi bangsa itu dengan perjuangan sempitnya yang menjerumus kepada polarisasi kaum tertentu sahaja.
Perkara itu diakui seorang aktivis masyarakat, Chong Choon Hau, yang turut menasihatkan kaum Cina supaya tidak menerima DAP kerana parti cauvinis itu menjadi penyebab kehidupan dan keamanan rakyat pelbagai kaum di negara ini tidak tenteram.
“Saya menyeru kaum sebangsa saya yang selama ini berada dalam DAP dan di luar sana yang sayang serta cinta negara, lebih baik tinggalkan parti itu mulai sekarang.
“Kita mahu hidup aman dan harmoni antara kaum di negara ini tanpa gangguan daripada sebarang dakyah api perkauman oleh DAP,” katanya di sini, semalam.
Menurut Choon Hau, segala perpecahan, prasangka dan perbalahan antara kaum yang berlaku di negara ini bukan datang dari hati kaum masing-masing, tetapi disebabkan oleh DAP yang membawa perjuangan Malaysia for Malaysian dan Malaysia for Chinese.
Perjuangan itu, katanya, sangat merbahaya kerana ia menyumbang kepada cetusan api kemarahan antara kaum, yang akhirnya berlaku rusuhan.
“Sabtu ini adalah 13 Mei. Satu tarikh yang tentunya kita semua tidak suka kerana ia meninggalkan kesan mendalam kepada perhubungan antara kaum di negara ini.
“Tarikh itu pada tahun 1969 adalah titik hitam dalam sejarah negara yang menyaksikan kaum Cina dengan orang Melayu berbalah. Siapa puncanya kalau tidak daripada DAP,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memuji kaedah dilaksanakan Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO dalam menautkan kembali perpaduan antara kaum seperti Melayu, Cina dan India melalui penubuhan parti MCA dan MIC.
Kata Choon Hau, tiga kaum ini hidup aman bahagia di bawah bumbung BN dan mengharapkan ia kekal selama-lamanya tanpa campur tangan atau provokasi daripada DAP. – MalaysiaGazette