Elizabeth Wong ketika majlis pelancaran kempen larangan menggunakan beg plastik tahun lepas.

SHAH ALAM – Mulai 1 Mei lalu, ada beberapa pasar raya di Selangor tidak lagi mengenakan caj 20 sen bagi setiap keping beg plastik.

Sebaliknya, ia diberikan secara percuma kepada pelanggannya dengan alasan menerima arahan daripada pihak pengurusan.

Namun, tidak diketahui, sama ada tindakan itu merupakan arahan daripada kerajaan negeri atau hanya atas dasar keprihatinan pasar raya berkenaan sahaja.

Tetapi, tinjauan di dua pusat beli-belah di sekitar Shah Alam dan Klang semalam, mendapati beg plastik telah mula diberi secara percuma kepada pelanggan.

Tindakan itu jelas menggembirakan orang ramai terutama suri rumah kerana mereka tidak perlu lagi membazirkan wang semata-mata untuk membayar beg plastik.

Namun, dalam tinjauan itu juga mendapati masih ada pasar raya tertentu di negeri itu kekal dengan caj 20 sen.

MalaysiaGazette bagaimanapun, gagal menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong Keat Ping untuk mendapatkan penjelasan.

Kerajaan Selangor menguatkuasakan kempen bebas beg plastik dan polistirena setiap hari mulai 1 Januari lalu di semua premis perniagaan seluruh negeri.

Menerusi kempen itu, setiap pasar raya dikenakan beberapa syarat iaitu tidak lagi membekalkan secara percuma beg plastik kepada pelanggan, sebaliknya dikenakan bayaran 20 sen jika hendak menggunakannya.

Selaras dengan pelaksanaan kempen itu, pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menambah syarat ketika permohonan lesen perniagaan, di mana beg plastik tidak lagi dibekalkan secara percuma.

Difahamkan, penguatkuasaan itu adalah tertakluk di bawah Undang-Undang Kecil Perniagaan mengikut PBT masing-masing.

Di awal penguatkuasaan itu, kerajaan negeri menerima kecaman daripada pelbagai pihak terutama golongan suri rumah yang menyifatkan caj 20 sen setiap beg plastik sebagai membebankan. – MalaysiaGazette