SHAH ALAM – UMNO Bahagian Shah Alam menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan segera mengatasi masalah banjir kilat yang semakin serius kebelakangan ini.
Ketuanya, Datuk Azhari Shaari berkata, setiap kali hujan lebat, banyak kawasan dinaiki air menyebabkan penduduk cemas dan ada antaranya terpaksa dipindah ke tempat lebih selamat.
Beliau memberi contoh, dalam kejadian hujan lebat di sekitar Shah Alam semalam, sebuah kampung melibatkan lebih 20 keluarga menjadi mangsa banjir kilat berikutan air naik dari 0.3 hingga tiga meter.
Sambil kesal dengan sikap sambil lewa kerajaan negeri, beliau berkata, pemimpin Pakatan Harapan (PH) di negeri itu lebih sibuk berpolitik daripada mengambil tahu permasalahan berlaku.
“Rakyat menjadi taruhan dalam keghairahan pemimpin PH berpolitik dan sibuk menjaga kuasa masing-masing. Masalah rakyat langsung tidak dipedulikan.
“Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh pengundi pada pilihan raya umum yang lalu, harus memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan. Bukan hanya bertemu rakyat ketika tiba musim mengundi,” katanya di sini, semalam.
Beliau turut meninjau keadaan di Kampung Air Kuning, dekat sini, yang dinaiki air akibat hujan lebat petang semalam dan menyampaikan sumbangan bagi meringankan beban mangsa.
Kampung itu dilanda banjir kilat akibat paras air Sungai Rasau naik secara mengejut sehingga menggenangi beberapa rumah sekitar.
Menurut Azhari, dalam tinjauannya juga mendapati sistem perparitan di kampung itu tidak di selenggara dengan baik. – MalaysiaGazette