KUALA LUMPUR – Sambutan ulang tahun ke 71 tahun UMNO secara besar-besaran pada 11 Mei ini bukan sahaja menjadi lambang solidariti kepada ahli-ahli parti.
Bagi Timbalan Ketua Bahagian UMNO Selayang, Datuk Ir. Md. Nasir Ibrahim, ia juga hasil saringan yang menghasilkan ahli-ahli UMNO dalam kategori hardcore sahaja.
Signifikannya, sambutan kali ini adalah ia akan dapat menunjukkan kekuatan semula parti diperingkat akar umbi walaupun berdepan kemelut perpecahan dalaman sebelum ini, katanya.
“Perhimpunan ini akan menjadi medan untuk UMNO menunjukkan kekuatan dan sebagai tanda solidariti akar umbi kepada pucuk pimpinan untuk mengemudi parti dalam menghadapi pilihan raya umum nanti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau menjangka sasaran 140,000 ahli hadir ke Stadium Bukit Jalil nanti dapati dicapai malah di kawasan beliau sendiri lebih 500 orang sudah mengesahkan kehadiran mereka.
“UMNO Bahagian Selayang sendiri akan membawa lebih 500 orang dengan 12 buah bas yang disewa. Jika setiap bahagian seluruh negara membawa jumlah yang sama, sasaran yang diletak akan dapat dicapai pada sambutan kali ini,” ujarnya.
Mengenai perpecahan sebelum ini yang dilihat menyebabkan parti goyah, Nasir berkata kebanyakkan kumpulan penentang sudah dikeluarkan daripada parti dan yang tinggal sekarang hanya mereka yang setia dengan pucuk pimpinan serta sedia berjuang apa sahaja untuk parti.
“Sekarang musuh-musuh parti semua sudah dikeluarkan dan yang tinggal sekarang kumpulan hardcore UMNO yang masih setia dan berjuang untuk parti,” ujarnya.
Dalam pada itu, himpunan kali ini juga akan menjadi pencetus semangat kepada UMNO Selangor khususnya di mana telah tewas dua penggal kepada pembangkang dan diharapkan dengan perpecahan pembangkang sekarang mampu memberi kelebihan kepada UMNO dan BN merampas semula negeri itu.
“Himpunan ini penting kerana pilihan raya umum akan menjelang tidak lama lagi dan kita kerja kuat, terutamanya kami di Selangor yang kalah kepada pembangkang dan kami kena kerja lebih kuat
“Bagaimanapun semua ini tidak mustahil dapat dimenangi semula ditambah pula dengan perpecahan pembangkang ketika ini,” katanya.
Dijangka lebih 140,000 pejuang dan pendokong parti dijangka akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, bagi menghadiri sambutan Ulang Tahun Umno ke-71 bertemakan ‘Penyatuan, Maruah, dan Martabat Perjuangan’ itu. – MalaysiaGazette