SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa semua agama yang dianuti oleh pelbagai kaum di negara ini menolak fahaman ekstremis dan keganasan.
Menurutnya, golongan ekstremis yang terdapat di negara ini hanya dilihat sebagai golongan minoriti dan semua agama perlu mempraktikkan nilai keagamaan yang sebenar mengikut agama masing-masing.
“Kita kena pastikan bahawa fahaman ekstrimisme tidak mempengaruhi kita dalam apa cara sekalipun. Terdapat golongan ekstrimisme dalam kalangan rakyat negara ini. Sama ada ekstremis muslim, Buddha, Hindu dan Kristian, biarkan mereka dalam kalangan mereka.
“Kita selaku golongan majoriti di dalam negara ini perlu meneruskan makna sebenar kepada agama masing-masing, maksud sebenar agama kita sama ada Islam, Buddha, Kristian atau Hindu,” kata Najib.
Beliau berkata demikian di dalam ucapannya ketika Majlis Minum Petang Sempena Hari Wesak Peringkat Kebangsaan di Shah Alam hari ini.
Turut hadir Menteri Pengangkutan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Di dalam ucapannya, Najib turut menekankan nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini yang menyatukan rakyat.
Tanpa mengamalkan nilai tersebut katanya, negara hari ini tidak akan berjaya dari segi politik dan sosial dimana masa depan negara sebagai sebuah negara yang berbilang kaum bergantung kepada faktor tersebut.
“Masa depan negara bergantung kepada kestabilan politik dan sosial. Ini boleh menjadi realiti kalau kita mengamalkan nilai keharmonian di dalam negara kita berdasarkan sifat saling memahami antara pelbagai kaum.
“Mari kita bekerjasama ke arah matlamat tersebut. Kita tidak boleh bangunkan negara yang cemerlang tanpa sokongan daripada masing-masing. Saya tak boleh bangunkan seorang diri, menteri-menteri juga tak boleh.
“Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai kelebihan. Di dalam agama Buddha juga menekankan kesederhanaan. Islam juga seperti sifat wasatiyah,” katanya. – Malaysia Gazette