Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Pas tidak sedikit pun berasa teruja mahu pun bangga dengan hasil kajian dan tinjauan seluruh negara yang dijalankan oleh sebuah kumpulan daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mendapati Pas adalah parti politik paling popular di negara ini diikuti Barisan Nasional dan PKR.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, sebaliknya parti itu lebih memfokuskan kepada pembinaan imej melalui pendekatan parti negarawan demi melangkah jauh dalam meletakkannya sebagai parti pemerintah.

“Ahli-ahli Pas tidak teruja dengan data kajian PBBM yang menunjukkan Pas adalah parti yang lebih popular berbanding parti lain.

“Data kajian berasaskan tinjauan awam boleh terdedah kepada manipulasi. Apa yang pasti Pas sedang membina imej sebagai parti negarawan yang berkhidmat untuk rakyat dengan pendirian dan prinsip tegas dalam pelbagai isu negara berasaskan Islam dengan menjadikan budaya politik matang sejahtera sebagai satu pendekatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian bagi mengulas satu tinjauan di seluruh negara oleh kumpulan yang kini sudah menyertai PPBM yang mendapati Pas merupakan parti politik paling popular di negara ini.

Mendedahkan hasil tinjuan berkenaan oleh ahli majlis tertinggi PPBM, Datuk Rais Hussin semalam, beliau berkata, responden menyukai Pas kerana mengetengahkan lebih ramai calon ulama dan menjadikan hudud sebahagian daripada manifesto parti itu.

Tinjauan berkenaan dipimpin tujuh profesor universiti awam yang tidak didedahkan identiti mereka telah dijalankan oleh 45 pembanci yang melakukan tinjauan secara bersemuka di kawasan pilihan raya.

Tinjauan mengambil pandangan 3,000 orang awam di 30 kawasan Parlimen yang dimenangi BN dan pembangkang, termasuk Sabah dan Sarawak dengan responden disoal mengenai pendirian mereka mengenai parti politik.

Ketika ditanya adakah mereka menyokong Pas, sebanyak 44.4 peratus responden menyokong sementara 38 peratus tidak pasti manakala 16.7 peratus tidak pasti.

Ditanya adakah mereka menyokong BN, 36.2 peratus responden menjawab mereka menyokong, 36.6 peratus tidak pasti dan 27.7 peratus tidak menyokong dan sebanyak 25 peratus responden menyokong PKR, 46.9 peratus tidak pasti manakala 27.2 peratus tidak menyokong parti itu.

Bagaimanapun Rais berkata, tinjauan itu tidak mengambil kira PPBM kerana ia digerakkan sebelum parti tersebut ditubuhkan secara rasmi pada September tahun lepas. -MalaysiaGazette