Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak (tengah) menjulang tangan bersama penerima Anugerah Tokoh Melayu Terbilang, Tan Sri Hanafiah Hussain (tiga kanan), Tan Sri Mohd Yussof Latiff (lima kanan) dan Tan Sri Napsiah Omar (enam kanan) turut serta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor (dua kanan), Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (kanan) dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO 71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 MEI 2017
KUALA LUMPUR – Sambutan UMNO ke 71 turut mengangkat pengorbanan tiga ahlinya semasa menggerakkan parti itu sehingga kini.

Mereka ialah Tan Sri Hanafiah Hussein, 90; Tan Sri Mohd Yussof Latiff, 87; dan Tan Sri Napsiah Omar, 74, yang diangkat sebagai Tokoh Melayu Terbilang 2017.

Hanafiah adalah anak Melayu pertama yang diiktiraf sebagai ‘Chartered Accountant’ dan mula aktif dalam politik sejak sebelum penubuhan UMNO lagi, iaitu SABERKAS.

“Saya fikir kalau UMNO telah mengiktiraf saya tentu UMNO percaya bahawa saya telah membuat sumbangan kepada negara. Dan saya minta kepada anak Melayu beri sumbangan kepada negara kerana UMNO tabdir negara dengan baik.

“Kalau bukan UMNO saya tidak akan menjadi seperti ini,” katanya.

Penerima kedua adalah penggerak utama kepada Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) Tan Sri Yussof.

Anak jati Pulau Pinang itu antara yang menyambut ketibaan Datuk Onn Jaafar di Sekolah Francis Light Pulau Pinang semasa roadshow mengajak orang Melayu bangkit menentang Malayan Union pada tahun 1946.

“UMNO adalah wadah yang tidak dapat disangsikan yang telah memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

“Ia perlu disayangi dan disokong. Tidak ada UMNO tidak ada Malaysia,” demikian menurut Yusoff.

Tidak lupa juga anugerah berkenaan turut diberikan kepada tokohh wanita UMNO.

Napsiah adalah pemimpin wanita yang menjadikan UMNO sebagai platform perjuangan bangsa yang mesti dipertahankan.

Malah beliau masih aktif sehingga kini dengan memegang jawatan sebagai Pengerusi Tetap Pergerakan Wanita UMNO.

“UMNO dengan lambang itu tidak ada nyawa, kita ahli yang perlu tiup dan bagi kekuatan,” kata Napsiah yang pernah memegang jawatan Ketua Wanita UMNO Negeri Sembilan.

Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dengan disaksikan Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada majlis sambutan ulang tahun UMNO ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast