Zaid Ibrahim
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan calon paling sesuai untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya pemerintahan negara bertukar kepada Pakatan Harapan (PH), kata ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim.

Menurutnya, hanya Dr Mahathir sahaja yang boleh meyakinkan orang Melayu dan peneroka Felda untuk menjadikan pertukaran kerajaan itu menjadi kenyataan.

“Ini bukanlah jenis pakatan yang boleh mendatangkan keyakinan pengundi. Mereka yang dipilih sebagai calon PM tidak seharusnya dari kalangan seseorang yang kita mahu, tetapi dialah yang akan pergi sebagai ketua ke medan pertempuran PRU 14 akan datang.

“Bagi saya, terdapat hanya satu peluang kecil untuk pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang iaitu dengan mereka memujuk Tun Mahathir untuk bersetuju dipilih sebagai calon Perdana Menteri kerajaan baru nanti,” tulisnya di blog beliau, The Zaidgest.

Bekas menteri undang-undang itu berkata, jika PH tidak mempunyai calon untuk diberitahu kepada pengundi, ia adalah sesuatu yang pelik dan sukar dibayangkan.

Katanya, perkara tersebut menunjukkan bahawa mereka tidak berani membuat sesuatu keputusan walaupun pada perkara paling asas.

“Ketika BN dengan Pas mula bersatu dan Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai pemimpin yang berani membuat keputusan berkaitan isu-isu besar dengan cepat seperti memberi laluan kepada pembentangan Akta 355, malangnya PH masih tidak berani mengumumkan bakal calon PM mereka,” tulisnya. – MalaysiaGazette