KUALA LUMPUR – Tindakan Majlis Syura Ulamak (MSU) Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR semalam, sama sekali tidak menjejaskan kerajaan Selangor.
Malah menurut Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, kerajaan negeri bawah kepimpinan menteri besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan terus berfungsi seperti biasa untuk menumpukan membangun negeri dan memakmurkan rakyat.
“PKR mengambil maklum keputusan MSU Pas yang membatalkan hubungan politik tahaluf siyasi, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengekalkan muafakat politik demi memenuhi aspirasi rakyat.
“Namun, keadaan ini tidak sama sekali menjejaskan kerajaan Selangor memandangkan kerajaan negeri hari ini mendapat mandat penuh rakyat,” katanya dalam kenyataan media awal pagi ini.
Semalam, Setiausaha MSU Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam sidang medianya memaklumkan keputusan parti itu memutuskan hubungan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR berkuatkuasa serta merta.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat berikutan PKR telah melanggar beberapa syarat tahaluf siyasi yang dipersetujui bersama sebelum ini.
Sehubungan itu, tegas Dr. Wan Azizah, PKR tidak pernah mengkhianati prinsip tahaluf siyasi sejak terbentuknya muafakat politik.
Bahkan, kata beliau, PKR mendukung secara prinsip usaha pemerkasaan mahkamah syariah seperti yang ditegaskan oleh kenyataan media Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 April lalu yang juga adalah pendirian rasmi Parti Keadilan Rakyat.
“Sementara kita berusaha secara muafakat dengan parti politik untuk menawan Putrajaya, kita juga komited dan tuntas mempertahankan kerajaan-kerajaan negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.
“Matlamat dan tindakan PKR dalam semua pilihanraya termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lalu adalah untuk menentang UMNO dan Barisan Nasional (BN),” ujar beliau.
Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah mengulangi tekad untuk terus menentang budaya rasuah dan kleptokrasi kerajaan UMNO BN.
Kata beliau, untuk mencapai matlamat murni itu, semua parti politik progresif mesti bergabung tenaga dan bersatu untuk menyelamatkan Malaysia dengan mengenepikan kepentingan parti masing-masing dan meletakkan agenda rakyat sebagai kerangka kepentingan bersama. – MalaysiaGazette