Ir. Izham Hashim

KUALA LUMPUR  – Parti Amanah Negara (PAN) Selangor menghormati keputusan Pas membatalkan tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana itu adalah pilihan yang dibuat berdasarkan kehendak ahli-ahli parti berkenaan.

Bagaimanapun, menurut Pengerusinya, Ir. Izham Hashim, keputusan itu tidak ada kena mengena dengan PAN yang menegaskan kewajaran mana-mana parti politik bermaruah mengambil langkah betul selepas memutuskan hubungan dengan semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang menjadi kerajaan negeri.

Katanya, PAN Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional dan Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan serta tindakan berhubung kedudukan Pas dalam kerajaan negeri itu.

“Keputusan ini perlu setelah Pas mengambil keputusan memutuskan hubungan dengan semua parti komponen PH dan bertindak keluar dari Blok Pembangkang.

“Bagi kami, kepentingan bersama dalam PH mengatasi kepentingan mana-mana parti komponen di dalamnya dan pimpinan PH wajar membuat kata putus secara konsensus dalam isu ini,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau mengulas keputusan Majlis Syura Ulamak  Pas semalam, yang membuat keputusan rasmi memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.

Izham menyeru semua pihak supaya terus berusaha memperkukuhkan PH bagi memastikan bukan sahaja Selangor dapat dipertahankan, tetapi juga mengambilalih Putrajaya daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Kata beliau, rakyat Selangor pastinya akan menilai secara objektif perkembangan itu dan membuat keputusan wajar menjelang PRU-14 nanti. – MalaysiaGazette