SHAH ALAM – Pas Selangor akan kekal sebagai komponen dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga tamat penggal Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) yang bermula dari tahun 2013 hingga 2018.
Pesuruhjayanya yang baharu, Sallehen Mukhyi berkata, keputusan itu dibuat demi menghormati mandat dan kepercayaan rakyat khasnya dalam PRU-13 yang lalu.
Beliau yang juga anggota Exco Kerajaan Negeri bagi portfolio Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri turut akur dan menghormati keputusan Majlis Syura Ulama (MSU) Pas yang telah memutuskan hubungan politik tahaluf siyasi dengan PKR.
“Sebaik MSU Pas membuat kenyataan rasmi mengenai kedudukan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) dengan sendirinya hubungan antara Pas Selangor dengan PKR telah terbatal.
“Oleh itu, kita tidak lagi akan terlibat dalam sebarang kerjasama dan rundingan politik dengan PKR,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Keputusan memutuskan kerjasama politik itu diumumkan Setiausaha MSU Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam sidang medianya di Pejabat Pas Pusat di Kuala Lumpur petang semalam.
Menurut Sallehen, mulai hari ini, Pas Selangor akan mengukuhkan kerjasama dalam Gagasan Sejahtera (GS) khususnya Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. – MalaysiaGazette