Sultan Sharafuddin Idris Shah

RAWANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu semua masjid di negeri itu berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mengelak ia dipolitikkan pihak tertentu.

Baginda bertitah, sebagai rumah ibadat, ia harus dijaga dengan baik dan menjadi tempat umat Islam beribadah selain sebagai penghubung kepada silaturahim.

“Beta mahu semua masjid di negeri ini didaftarkan dan diletakkan di bawah pengawasan JAIS supaya kesuciannya dapat dipelihara dan dijaga dengan baik.

“Beta tidak mahu berlaku penyalahgunaan masjid dan penyelewengan dana yang menjadi penyebabkan menghalang pengembangan ajaran sesat,” titahnya pada majlis perasmian Masjid Perodua di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam titah itu juga, baginda turut mengingatkan pelbagai pihak termasuk parti politik agar tidak menyalahgunakan masjid untuk kepentingan diri.

“Beta tidak berkenan sekiranya terdapat sesiapa pun menggunakan masjid untuk berpolitik, mengadakan ceramah tidak berlandaskan garis panduan ditetapkan serta mempengaruhi umat Islam ke arah sesuatu yang meragukan dan menyesatkan,” titahnya. – MalaysiaGazette