BANGI – Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak membatalkan status Dr. Ting Tiong Choon daripada menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Pujut sangat bertepatan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman, sebagai seorang wakil rakyat yang mewakili rakyat di negara ini, mempunyai dua kewarganegaraan selain Malaysia seperti yang berlaku pada Choon, merupakan perkara yang sangat serius.
“Situasi ini sangat serius, kita tidak boleh ada lebih dari satu kewarganegaraan. Saya yakin keputusan Speaker DUN (membatalkan) statusnya (ADUN) sangat tepat.
“Tapi saya rasa untuk pilihan raya akan datang, siapa yang nak bertanding tu, kena jelaslah, tidak boleh ada dua kewarganegaraan,” katanya selepas merasmikan acara penutup kursus Course Of Managing Sexual Offences Against Children di Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan di sini petang tadi.
Tambah Azalina, ketika mengisi borang untuk menjadi calon pada mana-mana pilihan raya juga, calon sepatutnya sedia maklum bahawa hanya warganegara Malaysia tanpa mempunyai kewarganegaraan lain yang boleh bertanding.
“Saya rasa dalam borang kita kita bertanding sangat jelas hanya ada satu kewarganegaraan, Malaysia. Malah, berkenaan kependudukan juga, tidak boleh ada dua, apa lagi jadi wakil rakyat,” ujarnya lagi.
Berkenaan dengan penafian yang dibuat oleh Choon sebelum ini, Azalina menggesa supaya wakil rakyat daripada DAP itu membuat penjelasan kepada umum berkenaan status kewarganegaraannya.
“Dia kena jelaskanlah (penafian). Sebenarnya, untuk memohon (dua kewarganegaraan) pun sudah salah. Saya tak faham, kenapa dia nak ada dua kewarganegaraan. Dia mesti jadi warga Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Azalina dengan sinis turut menempelak parti yang sinonim dengan label cauvinis itu kerana membenarkan ahli mereka bertanding meskipun secara jelas melanggar syarat kelayakn sebagai calom pilihanraya.
“Saya pun tak faham macam mana DAP boleh bagi orang macam tu bertanding.Inilah masalah DAP, orang lain semua tak boleh, dia saja yang boleh,” katanya.- MalaysiaGazette