KUUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut baik apa sahaja cadangan untuk membanteras gejala rasuah.
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Abdul Samat Kassah berkata, dengan jumlah kakitangan yang kecil agensi pelaksana itu sentiasa bersikap terbuka menerima kerjasama daripada pelbagai pihak.
Selain itu, katanya, SPRM turut mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan institut pengajian tinggi dalam usaha menerapkan nilai jati diri dalam kalangan pelajar dan penuntut.
“Kita masuk ke sekolah dan IPT menerusi elemen mata pelajaran untuk memberi kesedaran kepada golongan ini mengenai bahaya rasuah jika dibiarkan tanpa kawalan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Merakyatkan SPRM Bersama Pemimpin-Pemimpin PERKASA di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia di sini hari ini.
Program itu dirasmikan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia, Datuk Dr. Ibrahim Ali.
Kata Abdul Samat, beliau meminta media juga memainkan peranan membantu agensinya dengan melaporkan apa sahaja perkara yang disyaki mempunyai unsur rasuah.
“Media dekat dengan persekitaran dan mereka boleh saja membantu kami membanteras kegiatan rasuah ini,” katanya.- MalaysiaGazette