SPRM

PULAU PINANG – Seramai tujuh daripada 12 individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes penyelewengan Pusat Zakat Pulau Pinang (ZPP) dibebaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dan hari ini.

Menurut sumber SPRM, mereka terdiri daripada dua pegawai ZPP yang dibebaskan semalam dengan jaminan RM10,000 seorang.

Katanya, lima kontraktor iaitu masing-masing empat orang turut dibebaskan semalam manakala seorang lagi dibebaskan pagi ini dengan jaminan RM5,000 seorang.

Namun, tiada pengesahan sama ada dua pegawai ZPP yang dibebaskan itu termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) berusia 50 tahun yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Minggu lalu, SPRM negeri ini menahan 12 individu masing-masing empat pegawai ZPP termasuk CEO dan lapan kontraktor bagi membantu siasatan kes penyelewengan membabitkan keperluan asnaf, anak yatim dan golongan memerlukan.
CEO itu yang bekerja di agensi berkenaan sejak 1995 dipercayai menerima barangan berharga, wang tunai dan cek daripada beberapa kontraktor dan pembekal ZPP sebagai dorongan untuk memberi projek.

Malah, beliau turut dipercayai memberikan bantuan permulaan pelajaran dan meluluskan biasiswa tahunan anaknya tanpa melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 17 (a) dan (b) serta Seksyen 23 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan. – MalaysiaGazette