KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki tiga tahun maut dipercayai akibat didera di sebuah rumah di Jalan Dato’ Seri P Alagendra 2, dekat Kajang semalam.
Kanak-kanak malang itu dibawa ke Hospita Kajang selepas ibunya didakwa tidak bernafas dengan stabil ketika bangun tidur pada pukul 6.55 pagi.
Mangsa yang dibawa di wad kecemasan disahkan meninggal dunia selepas beberapa minit menerima rawatan.
Hasil pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan merah dan bengkak pada tubuhnya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Othman Nanyan, hasil bedah siasat didapati mangsa mengalami atah tulang rusuk di sebelah kanan badannya serta lebam pada tubuhnya.
“Kanak-kanak itu juga mengalami pendarahan dalaman kerana pankreasnya terkoyak,” katanya dalam kenyataan di sini.
Punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di bahagian perut akibat kesan objek tumpul.
Othman berkata, ibu kanak-kanak itu yang berusia 29 tahun dan teman lelakinya ditahan reman selama seminggu untuk membantu siasatan.
Menurutnya, ibu kanak-kanak itu bekerja sebagai pembantu taska dan tidak mempunyai rekod lampau serta ujian dadah juga negatif.
Bagaimanapun, teman lelakinya berusia 39 tahun, pekerja di gerai makan mempunyai rekod kesalahan dadah dan ujian air kencingnya positif ganja.
Othman berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette