Sallehin Mukhyi

KUALA LUMPUR – “Mengapa Pas perlu melepaskan jawatan Exco Kerajaan Selangor sedangkan DAP pernah berbuat demikian semasa memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini”, demikian menurut Pesuruhjaya Pas yang baharu, Sallehin Mukhyi.

ADUN Sabak itu menjawab persoalan banyak pihak mengapa tiga Exco negeri itu harus kekal setelah memutuskan hubungan dengan PKR.

“Sejarah telah membuktikan, di saat DAP memutuskan hubungan dengan Pakatan Rakyat, Exco DAP tidak meletak jawatan, apabila masyarakat mempersoalkan, Lim Guan Eng menjawab yang DAP perlu terus berada dalam kerajaan supaya Pas tidak buat kerja jahat.

“Oleh sebab itu, Pas perlu terus berada dalam kerajaan dan Exco mesti terus berkhidmat supaya Pas dapat buat kerja baik dan DAP tidak buat kerja jahat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pas Selangor semalam menolak dakwaan bahawa tiga Exco parti itu akan dipecat daripada barisan pentadbiran Kerajaan Selangor.

Ia susulan keputusan Majlis Syura Ulama parti itu menamatkan hubungan politik dengan PKR.

Dalam pada itu, Sallehin turut membidas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang melabel parti itu sebagai tidak bermaruah kerana masih kekal dalam pentadbiran kerajaan Selangor walaupun hubungan kerjasama politik dengan PKR ditamatkan.

Malah Pas Selangor menyifatkan kenyataan Noh sebagai “manusia paling kecewa”,

Noh Omar katanya, harus melihat UMNO dan BN Selangor yang terus menikus dan dayus terhadap kelemahan Kerajaan Persekutuan.

“PAS terus kekal dalam kerajaan Selangor pada hari ini kerana menunaikan hak yang diberikan oleh rakyat dan kematangan pentadbiran kerajaan yang ada pada hari ini.

“Perbezaan yang ada antara parti adalah kelebihan kerajaan negeri yang ada pada hari ini terutama dalam mengambil kira maslahah rakyat dan memberikan perkhidmatan,” katanya lagi.

Noh semalam melabel Pas Selangor sebagai parti “tidak bermaruah” dan oportunis kerana masih mahu berada dalam pentadbiran kerajaan Selangor walaupun kerjasama politik dengan PKR telah berakhir.

Ujar Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, alasan Pas untuk tetap kekal dalam pentadbiran Selangor kerana mahu menunaikan mandat diberi rakyat pada pilihan raya umum lalu adalah tidak munasabah.

“Noh Omar juga perlu belajar tentang makna Tahaluf dan Taawun, kejahilan untuk memahami inilah menyebabkan beliau minta Exco PAS supaya meletakkan jawatan. Keterlibatan Pas dalam kerajaan adalah untuk bertolongan dalam kebaikan dan takwa.

“Beliau juga perlu belajar sejarah, Pas satu-satunya parti kerajaan negeri yang tidak pernah buat pakatan dan kekecohan untuk menjatuhkan Menteri Besar, disaat parti lain berpakat menjatuhkan Tan Sri Khalid, Pas tidak turut berpakat,” kata Sallehin. -MalaysiaGazette.