KUALA LUMPUR – Dakwaan pihak tertentu kononnya UMNO gagal mendapat tempat dalam kalangan anak muda adalah tidak tepat sama sekali.
Ini terbukti apabila UMNO Bahagian Pasir Mas di Kelantan menerima sebanyak 76 borang keahlian baharu yang rata-rata anak muda berusia 20-an.
Borang keahlian mereka diserahkan kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanapi Mamat dalam satu majlis ringkas di Kampung Bechah Semak, semalam.
UMNO Bahagian itu bukan setakat menjalankan kempen mendaftar keahlian baharu malah dapat membuktikan dengan kehadiran anak muda terbabit bersama dengan borang dan yuran pendaftaran.
Menurut Hanapi, beliau kagum dengan semangat ditunjuk sekumpulan anak muda itu, yang berani tampil dan membuat keputusan bijak memilih UMNO sebagai parti untuk mereka berjuang.
“Penyertaan mereka juga membuktikan UMNO tidak pernah meminggirkan anak muda untuk terlibat dalam parti terbesar orang Melayu ini.
“Saya kagum dan berharap selepas ini ramai lagi rakan sebaya mengikut jejak langkah mereka,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.
Hanapi turut memberi penghargaan kepada Pengulu Mukim, Rosdi Shaari bersama rakan sejawatannya yang menjalankan kempen menarik anak muda menyertai UMNO. – MalaysiaGazette