Dr. Ting Tiong Choon. foto BorneoPost

KUALA LUMPUR – Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) mengesahkan bekas ADUN Pujut, Dr. Ting Tiong Choon tidak pernah pulang ke negara ini melalui inisiatif Program Kepulangan Pakar (REP).

REP adalah program yang memudahkan cara kepulangan para profesional warga negara Malaysia yang bekerja di luar negara dengan beberapa insentif.

“Dalam kes Ting, rekod TalentCorp menunjukkan beliau tidak pulang di bawah REP,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shareen Shariza Abdul Ghani.

Menurut beliau, walaupun bekas Dewan Undangan Negeri Sarawak itu pernah membuat permohonan di bawah REP pada Mei 2014 dan telah diberikan kelulusan bersyarat pada September 2014, beliau tidak menyerahkan bukti telah pulang ke tanah air dan berjaya memperoleh pekerjaan di Malaysia untuk membolehkan beliau menerima Surat Akuan Tarikh Kembali (SATK).

 

Di samping itu, Dr. Ting juga gagal untuk memenuhi syarat-syarat lain yang ditetapkan oleh Jawatankuasa REP.

Shareen berkata, semua permohonan REP daripada para profesional perubatan terlebih dahulu dibentangkan untuk pertimbangan Jawatankuasa Kerja Bersama – Tenaga Kerja Penjagaan Kesihatan (JWC-HT).

Ahli-ahlinya termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Perubatan Malaysia, Pakar Kebangsaan Kebangsaan dan beberapa anggota jawatankuasa yang dilantik.

JWC-HT berperanan menyemak kelayakan akademik dan pengalaman kerja pemohon bagi menentukan kelayakan mereka di bawah REP. Ia kemudian menghantar cadangannya kepada Jawatankuasa REP.

“Dalam kes Dr. Ting, kelulusan bersyaratnya menghendaki beliau menyediakan surat pelantikan jawatan sebagai pegawai perubatan di kawasan luar bandar serta pendaftarannya dengan MMC.

“Selepas mendapat kelulusan semua pemohon REP diberi tempoh sehingga dua tahun untuk kembali dan memperoleh pekerjaan di Malaysia sebelum SATK dikeluarkan oleh TalentCorp untuk diluluskan sebagai pakar yang pulang di bawah REP dan mendapat manfaat daripada insentif di bawah program ini,” katanya.

Shareen menambah, ketika membuat permohonan, Dr. Ting memegang pasport Malaysia yang sah dan ini melayakkan beliau memohon REP.

Di bawah REP, pemegang penduduk tetap dibenarkan memohon REP sekiranya mereka masih warga negara.

Pemohon juga perlu memenuhi kriteria ketat berhubung kelayakan akademik, pengalaman kerja, tahap pendapatan dan tempoh perkhidmatan di luar negara,

Mereka juga mesti bekerja dalam pekerjaan berkemahiran tinggi yang dikenal pasti dalam Senarai Pekerjaan Kritikal serta bekerja dan tinggal di luar negara pada masa permohonan.

“Bagi memastikan TalentCorp memenuhi objektif utama REP untuk memudahcara tenaga kerja berkualiti yang diperlukan bagi pembangunan ekonomi negara, agensi ini bekerjsama erat dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan Jawatankuasa REP dalam membuat pengesahan dan penilaian teliti terhadap permohonan REP.

“Permohonan yang tidak memenuhi kriteria yang ketat, permohonan REP tidak akan diluluskan,” katanya. – MalaysiaGazette