Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kumpulan perintis melibatkan seramai 2,640 pelajar universiti yang terlibat dengan Program Keusahawanan Belia Pengajian Tinggi Balik Kampung (U2Desa) adalah pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peranan mereka adalah untuk merealisasikan kemajuan dan kesejahteraan desa.

Ini kerana kata beliau, penglibatan dan komitmen generasi muda dalam pembangunan negara terutama luar bandar amat penting bagi menentukan idea baharu, kreativiti, inovasi serta daya tahan mereka.

Menerusi program itu kementeriannya menawarkan peluang bagi pelajar berkenaan melaksanakan peranan untuk membina halaman desa lebih setanding dengan bandar menjelang tahun 2050.

“Ketika itu tiada perbezaan antara luar bandar dan bandar dari segi kemajuan dan ekonomi, selain mempunyai kemudahan serba lengkap.

“Hasrat ini juga diketengahkan oleh golongan belia ketika sesi dialog TN50 dengan belia di Kuala Lumpur dan Terengganu,” katanya pada majlis pelancaran U2Desa di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya di sini petang tadi.

Ismail Sabri bertekad hendak menyediakan segala kemudahan dan prasarana fizikal seperti jalan, bekalan air dan elektrik termasuk talian komunikasi seperti internet.

Bagaimanapun, ujar beliau, walaupun kerajaan boleh menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif, pengembangan serta kemajuan ekonomi, ia bergantung kepada penduduk di desa terutama usahawan untuk menjana ekonomi.

Dalam aspek itu, katanya, usahawan U2Desa boleh menjadi arkitek pembangunan kampung masing-masing di mana mereka tidak lagi perlu berhijrah ke bandar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast