PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa bertindak segera terhadap beberapa tuntutan Bersih 2.0 khususnya dalam memastikan hak rakyat memilih wakil mereka dengan mengurus, memantau dan menjalankan pilih raya secara bebas dan adil.
Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata, tuntutan mereka perlu diberi perhatian segera memandangkan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) hanya tinggal kurang setahun dari sekarang.
Beliau berkata, pembaharuan sistem pilihan raya bebas dan adil itu perlu dilaksanakan trerlebih dahulu sebelum SPR boleh mengadakan PRU14.
“Kami rela bekerja dengan SPR secara sukarela dalam melaksanakan langkah-langkah ini demi PRU14 yang bebas dan adil dengan syarat pilihan raya tidak boleh diadakan sehingga pembaharuan itu dilaksanakan,” katanya pada sidang media di luar pekarangan ibu pejabat SPR, di sini, hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng; pengasas Parti Bebas Rasuah, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin.
Terdahulu, Maria Chin melancarkan kempen reformasi pilihan raya ‘Pertahankan Nilai Undi Anda’ dan salah satu simbolik kempen itu ialah penyerahan rasmi memorandum secara serentak kepada ibu pejabat SPR Putrajaya dan enam lokasi di peringkat negeri seperti Kota Kinabalu, Alor Setar, Kota Bharu, Georgetown, Ipoh dan Johor Bharu.
Mengulas lanjut, Maria Chin berkata, memorandum itu menyenaraikan beberapa tuntutan Bersih 2.0 terhadap SPR yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sebulan.
“Langkah-langkah ini diolah untuk meningkatkan ketelusan, kebertanggungjawaban dan kecekapan dalam semua proses pilihan raya dan pihak berkuasa.
“Memulihkan sekatan dan imbangan di antara semua pihak daripada SPR kepada parti politik dan pengundi,” katanya.
Antara tuntutan Bersih 2.0 itu ialah pelantikan dan pensturkturan semula SPR yang bebas dan bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen, membasmi rasuah dan politik wang, melaksanakan pendaftaran pemilih secara automatik dan melaksanakan kempen selama 21 hari.
Maria Chin berkata, pihaknya mengingatkan SPR tentang cadangan Jawatankuasa Terpilih Parlimen lima tahun lalu iaitu untuk mengkaji sistem pilihan raya alternatif ke arah menggantikan sistem “first-past-the-post”.
“SPR dan kerajaan pusat mesti memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap hak demokrasi dan berusaha untuk menyamai atau mencatatkan keputusan lebih baik daripada rekod keluar mengundi 80 peratus pada pilihan raya umum lalu,” katanya. – MalaysiaGazette