DAVAO: Presiden kontroversi Filipina, Rodrigo Duterte berkata beliau akan menggesa kemasukan Turki dan Mongolia ke dalam ASEAN, menolak kebimbangan mengenai kedudukan geografi negara-negara itu.
Duterte berkata, pemimpin-pemimpin Turki dan Mongolia memberitahu beliau mengenai hasrat menganggotai ASEAN ketika mereka menghadiri sidang kemuncak mengenai projek infrastruktur perdagangan global di China pada minggu ini.
Duterte, yang mana negaranya menjadi pengerusi ASEAN pada tahun ini, mengadakan mesyuarat berasingan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan Perdana Menteri Mongolia, Jargaltulga Erdenebat pada sesi sampingan sidang kemuncak itu.
“Mereka mahu menyertai ASEAN dan memandangkan kini saya adalah pengerusi, mereka mahu saya menaja kemasukan mereka dan saya berkata ‘Ya, kenapa tidak'”, kata Duterte kepada pemberita di Filipina.
ASEAN merangkumi 10 sebuah negara iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Turki yang merupakan anggota NATO terletak antara Eropah dan Asia. Permohonannya untuk menganggotai Kesatuan Eropah terbantut sejak sekian lama. Mongolia pula terletak antara China dan Rusia.
Kedudukan geografi merupakan kriteria pertama yang diambilkira untuk menganggotai ASEAN selain mendapat pengiktirafan semua anggotanya.
Duterte berkata, pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi yang menyertai sidang kemuncak di China itu bertanyakan beliau jika beliau mengambil kira kedudukan geografi dalam memutuskan untuk meminta menaja kanggotaan Turki dan Mongolia dalam ASEAN.
Bagaimanapun, Duterte menegaskan bahawa kedua-dua negara itu merupakan sebahagian daripada rantau ini.
“Mereka adalah sebahagian (rantau ini). Saya rasa mereka sebahagian (rantau ini),” katanya.
“Turki berbelah bahagi sama ada menjadi jambatan Eropah dan Asia atau Asia…. kadang kala mereka berkata mereka sebahagian Asia. Kadang kala mereka berkata mereka adalah jambatan Asia ke Eropah,”.
Ditanya menyenai kenyataan Duterte, Sekretariat ASEAN berkata, Turki dan Mongolia tidak pernah memohon untuk menganggotai blok itu.
“Isu ini tidak pernah dibincangkan di ASEAN,” kata Pengarah Hal Ehwal Komuniti, Lee Yoong Yoong yang berpangkalan di Sekretariat ASEAN di Jakarta kepada AFP menerusi emel.
Timor Leste memohon menganggotai ASEAN sejak bertahun-tahun, namun negara itu hanya memegang status pemerhati. – AFP