KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengguna (IHP), yang mengukur inflasi keseluruhan bagi bulan April lalu 4.4 peratus berbanding 5.1 peratus pada bulan Mac.
Berdasarkan terma pelarasan musim, IHP bagi April 2017 turun 0.3 peratus berbanding Mac 2017, menurut Jabatan Statistik.
Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan adalah indeks pengangkutan (+16.7 peratus), makanan dan minuman bukan alkohol (+4.1 peratus), perkhidmatan rekreasi & kebudayaan (+3.0 peratus), kesihatan (+2.8 peratus), restoran & hotel (+2.4 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain (+2.2 peratus).
Indeks kumpulan pengangkutan menunjukkan peningkatan yang ketara iaitu 16.7 peratus pada asas tahun ke tahun bagi April 2017, setelah naik 23.0 peratus pada Mac 2017.
Harga purata 1 liter petrol RON95 adalah RM2.21 pada April 2017 iaitu lebih tinggi berbanding RM1.70 pada April 2016.
Bagi petrol RON97, harga purata adalah RM2.48 pada April 2017 berbanding RM2.05 pada April 2016. Kelas perbelanjaan bahan api dan pelincir untuk pengangkutan persendirian menyumbang 7.8 peratus daripada wajaran IHP.
Indeks kumpulan makanan & minuman bukan alkohol yang menyumbang 30.2 peratus kepada wajaran IHP, meningkat 4.1 peratus pada April 2017.
Kenaikan ini didorong oleh indeks subkumpulan makanan minyak dan lemak (+39.1 peratus), ikan & makanan laut (+6.2 peratus), daging (+4.2 peratus), buah-buahan (+2.4 peratus) dan sayur-sayuran (+2.3 peratus).
Bagi indeks Makanan di Luar Rumah, ia terus meningkat pada April 2017, dengan kenaikan 4.9 peratus.
Antara indeks barangan makanan yang mencatatkan kenaikan yang ketara dalam bulan April 2017 berbanding tempoh yang sama tahun lepas adalah minyak masak (+49.0 peratus), bayam (+15.9 peratus), tomato (+13.8 peratus), ikan Kembong (+9.2 peratus), udang (+9.1 peratus), ikan Cencaru (+7.4 peratus), sawi (+6.8 peratus), ikan Tenggiri (+5.8 peratus), sotong (+4.8 peratus) dan ayam (+3.9 peratus).
Sementara itu, penurunan telah dicatatkan dalam indeks bagi beberapa barangan makanan seperti bawang kecil (-10.3 peratus), kobis bulat (-7.0 peratus), lobak merah (-4.3 peratus) dan bawang besar (-3.4 peratus).
Kenaikan indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dicerminkan di kebanyakan negeri di Malaysia terutamanya di negeri-negeri dengan tahap perbandaran yang tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Melaka.
Enam negeri mencatatkan kenaikan yang lebih tinggi bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol melebihi paras indeks nasional bagi April 2017 berbanding bulan yang sama tahun 2016.
Indeks bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 5.4 peratus di Melaka, 4.8 peratus di Johor, 4.7 peratus di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 4.7 peratus di Kedah dan Perlis, 4.6 peratus di Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan 4.6 peratus di Pulau Pinang.
Perbandingan bulan ke bulan, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol naik 0.1 peratus pada April 2017, setelah turun 0.3 peratus pada Mac 2017.
Sementara itu, indeks kumpulan bukan makanan turun 0.4 peratus pada April 2017 berbanding bulan sebelumnya.
Inflasi teras kekal stabil pada 2.5 peratus bagi April 2017 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Antara kumpulan utama yang bertindak sebagai pendorong kepada peningkatan kadar inflasi teras adalah kenaikan harga bagi kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (+4.1 peratus), perkhidmatan rekreasi dan kebudayaan (+3.0 peratus), pengangkutan (+3.0 peratus), kesihatan (+2.8 peratus) dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (+2.7 peratus). – MalaysiaGazette