KUALA LUMPUR – Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak layak untuk memimpin Pakatan Harapan apatah lagi untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri interim, kata Tunku Abdul Aziz.
Bekas Naib Presiden DAP itu berkata, sungguh pun Presiden PKR itu jujur untuk mengakui bahawa beliau akan menjadi perdana menteri sementara namun ia satu bentuk pengkhianatan kepada penyokong pembangkang.
“Dia sepatutnya menolak daripada memegang jawatan sebagai pemimpin PKR. Beliau hanyalah sekadar pemanas kerusi yang tidak memberi kepimpinan efektif kepada PKR.
“Saya rasa ini bertentangan dengan apa yang dimahukan oleh pengundinya. Pengundi mahukan seorang pemimpin tetapi mereka tidak dapat apa yang diharapkan. Ini satu bentuk kecurangan,” katanya,” katanya kepada sebuah laman portal.
Wan Azizah dalam temubual bersama Al-Jazeera baru-baru ini mengakui tidak kisah dilabel sebagai Perdana Menteri interim sekiranya pembangkang menang Pilihan Raya Umum akan datang.
Ini berikutan partinya yang sedang berusaha mendapatkan pengampunan diraja untuk suamnya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dipenjara diatas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan.
Menurut Tunku Abdul lagi, kenyataan Wan Azizah selaku Pengerusi Majlis Presiden Pakatan Harapan itu jelas membuktikan beliau curang kepada pengundinya. – MalaysiaGazette