Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (tiga kanan) diiringi Presiden Persatuan Orthopaedik Malaysia, Datuk Azmi Baharudin (dua kanan) melancarkan buku 50 tahun Pembedahan Ortopedik sebagai simbolik perasmian Sambutan Ulangtahun Jubli Emas ke 50 Persatuan Orthopaedik Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 19 MEI 2017

KUALA LUMPUR – Jumlah pakar ortopedik di negara ini sekitar 700 hingga 800 adalah tidak mencukupi mengikut kadar pesakit mendapatkan rawatan berkaitan tulang sedia ada.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, daripada jumlah itu, seramai 28‌5 hingga 295 pakar ortopedik menyediakan perkhidmatan di 53 hospital kerajaan dibawah Kementerian Kesihatan.

“Bagaimanapun jumlah pakar ortopedik yang ada dikementerian boleh dikatakan sangat tidak cukup untuk menampung keperluan pesakit yang kita terima di hospital.

“Jika ikutkan kadar doktor tulang dengan jumlah penduduk standard yang ditetapkan United Kingdom ialah seroang doktor untuk 1,500 pesakit.

“Malangnya kita sudah tiga kali ganda berada di belakang standard itu dan memerlukan tindakan serius untuk menangani masalah itu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Jubli emas 50 tahun Ortopedik Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara hari ini.

Bagi meningkatkan jumlah doktor pakar bidang itu, kementeriannya menggalakkan lebih ramai doktor untuk mengikuti latihan sarjana kepakaran dalam ortopedik dengan menambah jumlah pengambilan.

“Untuk itu sejak tahun 2013, kami telah meningkatkan bilangan doktor untuk latihan sarjana daripada 30 kepada 42 orang iaitu peningkatan 30 peratus dalam kepakaran ortopedik sahaja.

“Manakala keseluruhan jumlah latihan kepakaran yang diikuti doktor untuk program sarjana pula sebanyak 300 orang melibatkan semua bidang kepakaran perubatan ditambah 23 jenis program sarjana dalam pelbagai lapangan perubatan.

“Pada tahun 2013 kita hanya mempunyai 300 tempat kepakaran pelbagai kepada 1,000 tempat ketika ini. Usaha inij menggalakkan lebih ramai doktor untuk mengambil kursus kepakaran tertentu dalam perubatan,” tegasnya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Ortopedik Malaysia, Datuk Dr. Azmi Baharudin mengakui walaupun sektor swasta terdapat pakar ortopedik agak ramai namun secara keseluruhannya ia masih tidak menepati standard kesihatan populasi penduduk sedia ada.

Selain itu, beliau juga mengakui kebanyakan kes yang dikendalikan ortopedik ialah berkaitan melibatkan pesakit terlibat dalam kemalangan jalan raya dan di tempat kerja selain penyakit sendi, ligamen dan tulang.

“Ada antara pesakit yang datang merujuk kami berakhir dengan pemotongan kaki akibat diabetes. Jika kita dapat menambah kepakaran kita dan beberapa langkah efektif seperti kempen kesedaran, kita boleh mengurangkan insiden kemalangan sekaligus mengurangkan beban kerja pakar ortopedik juga,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast