Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjawab lima komen orang ramai yang terpilih semasa sesi LIVE bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui akaun facebook miliknya sendiri. foto HAZROL ZAINAL, 19 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Selepas Pas tidak lagi bersama pakatan pembangkang, Tun Dr. Mahathir Mohamad kembali menggunakan skrip lamanya menuduh golongan ulama dalam parti itu hanya menggunakan Islam sebagai laluan untuk menjadi wakil rakyat.

Menurut bekas perdana menteri itu, ia dibuktikan apabila ulama parti itu yang sebelum ini berada dalam UMNO keluar parti dan kemudian mewujudkan sebuah parti baharu untuk bertanding dalam pilihan raya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Penasihat Pakatan Harapan itu mendakwa parti yang memperjuangkan Islam itu juga telah menggunakan agama secara salah untuk mencari kemenangan dengan cara mengkafirkan orang Islam lain.

“Dalam al-Quran tak dibenar tetapi itu yang dilakukan oleh Pas..tapi dia sekarang (Pas) ini bekerjasama dengan UMNO yang dikafirkan dahulu,” katanya pada siri live di Facebook bersama Tun Dr. Mahathir hari ini.

Bekas perdana menteri itu turut berkata, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seolah-olah berdolak-dalih dalam membuat keputusan terhadap hubungan kerjasama dengan parti pimpinannya ekoran kerana mengadakan hubungan politik dengan DAP.

“Eh..dulu saya tengok Hadi boleh peluk-peluk dengan Kit Siang. Dia kata pada masa tu tahaluf siyasi..tahaluf siyasi ni dalam bahasa arab tapi maknanya political cooperation (kerjasama politik) kalau bunyikan dalam bahasa Melayu tak nampak Islam sangat.

“Saya baca kaji selidik tahaluf siyasi ni…takde satu pun sedutan daripada al-Quran yang sesuai dengan pendapat mereka. Mereka sebenarnya mencari kemenangan melalui political cooperation…itu saja..janganlah tipu orang,” katanya.

Menurut Mahathir, Pas tidak konsisten dalam membuat keputusan berhubung mengadakan langkah untuk melakukan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan.

Katanya, banyak pertemuan telah diadakan sebelum ini dengan pegawai dan wakil Pas berhubung langkah itu namun, keputusan yang dibuat oleh presidennya (Abdul Hadi) tidak memberikan petunjuk positif.

“Berkali-kali kita berjumpa..berjumpa dengan pegawainya, wakilnya bersetuju lepas tu balik berjumpa Hadi. Hadi tak bersetuju..tolak balik pulak, berkali-kali.

“Namun kita sampai lewatkan penubuhan pakatan harapan kerana nak dapatkan persetujuan daripada Pas..tetapi Pas lebih tumpukan hubungan rapatnya dengan UMNO bukan dengan bersatu…akhirnya hubungan kita ditamatkan oleh Pas sendiri,” ujarnya.

Mahathir turut mengakui PPBM yang dipimpinnya tidak mampu untuk menandingi Barisan Nasional (BN) yang mempunyai 13 parti gabungan yang menyokong kuat pada pilihan raya.

Katanya, disebabkan itu PPBM perlu berkerjasama rapat dengan parti-parti pembangkang lain termasuk DAP.

“Tiada satu parti dalam Malaysia ini yang boleh lawan dengan BN yang ada parti campuran 13 buah parti yang boleh menang. Kalau nak menang kita mesti ada pakatan kita juga.

“Sebab itu kita buat Pakatan Harapan…kita harap Pas masuk sama..tapi Pas guna tak boleh bekerjasama dengan DAP..tak boleh kerjasama dengan PKR,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast