Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menunaikan solat Magrib bersama ribuan pelajar tahfiz pada Majlis Himpunan 30, 000 Huffaz turut hadir Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru intitusi pendidikan tahfiz yang belum berdaftar supaya supaya segera mendaftar demi menjaga kebajikan pelajar.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah tersebut perlu bagi memastikan pendidikan yang diterima oleh pelajar tahfiz mengikut piawaian yang wajar.

“Saya menyeru agar mana-mana institusi tahfiz yang belum mendaftar supaya segeralah mendaftar.

“Dengan tidak ada piawaian yang tertentu di pusat tahfiz tidak berdaftar kita mahu supaya kebajikan mereka terjaga,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Himpunan 30,000 Huffaz di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Beliau mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan majlis berkenaan.

Baru-baru ini, kerajaan telah mengagihkan peruntukan berjumlah RM80 juta kepada lebih 800 sekolah pondok berdaftar, Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan institusi tahfiz berdaftar di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi menyelaraskan dan membangunkan pendidikan tahfiz melalui Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN).

Sebanyak 129 sekolah pondok, 99 SMAR dan 591 institusi tahfiz berdaftar menerima manfaat daripada peruntukan tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) menerima replika cek bernilai RM500, 000 dari Masterplan Consulting Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Faris Abdul Halim (dua kiri) untuk diserahkan kepada Gabungan Perstuan Institusi Kebangsaan (PINTA) pada Majlis Himpunan 30, 000 Huffaz turut hadir Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 20 MEI 2017.

Kerajaan turut mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 yang akan diberikan kepada institusi-institusi tahfiz yang berdaftar.

Ia merupakan kali pertama peruntukan seumpamanya diberikan kerajaan dalam sejarah pendidikan tahfiz negara.

Dalam pada itu Zahid turut memberitahu, kerajaan berhasrat mahu melahirkan seramai 125,000 huffaz di seluruh negara dalam tempoh tiga dekad.

Beliau turut menyarankan agar golongan huffaz memainkan peranan lebih besar dalam memartabatkan agama dan membawa negara ke peringkat antarabangsa.

Katanya, mereka seharusnya berperanan sebagai golongan profesional yang boleh memacu pembangunan negara.

Tambahnya, bukan saja mahu melihat golongan itu menceburkan diri dalam ekonomi bahkan ada menteri dan perdana menteri pada masa depan terdiri dalam kalangan huffaz.

“Ini agar mereka membawa Malaysia dan agama Islam ini di persada dunia,”. – MalaysiaGazette

Comments are closed.