Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi (tengah) tiba pada Majlis Penutupan Kembara Media Kementerian Dalam Negeri di The Royale Chulan, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 21 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamed menandatangani petisyen membebaskan Anwar Ibrahim sebagai usaha untuk ‘mencuci dosa’ sendiri.

Beliau berkata, sebelum ini ketika Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diambang kuasa, beliau tidak berbuat demikian, sebaliknya memenjarakan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

“Jadi, tindakan Tun Mahathir itu adalah satu langkah politik untuk cuci dosa-dosa beliau kepada Anwar,” katanya pada sidang media selepas merasmi penutup Kembara Media Bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di The Royale Hotel di sini hari ini.

Tun Mahathir bersama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali menandatangani petisyen untuk membebaskan Anwar pada Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12 di Shah Alam.

Mantan Perdana Menteri itu mengakui beliau mahu Anwar yang menjadi Timbalan Perdana Menteri sewaktu zaman pemerintahannya dibebaskan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri KDN berkata, hukuman yang dijatuhkan ke atas Anwar pada tiga tahun lalu bukan dibuat oleh kerajaan, sebaliknya melalui perundangan sedia ada.

Katanya, segala usaha untuk membebaskan Anwar perlu melalui Lembaga Pemgampunan sebagaimana dilakukan Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Peguam Negara. – MalaysiaGazette