KUALA LUMPUR – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menyambut ulang tahun ke-50 penubuhannya.

Detik bermakna itu akan diraikan dengan penganjuran jamuan malam Jubli Emas Bernama di Dewan Perdana Felda di sini malam ini.

Pada majlis itu, sejumlah anugerah khas akan disampaikan mengikut kategori tertentu sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah berjasa dan menyokong Bernama selama ini.

Bekas petugas Bernama yang telah menempa kejayaan akan turut diberi pengiktirafan.

Bernama ditubuhkan di bawah Akta Parlimen pada 6 April 1967 dan dilancarkan secara rasmi pada 30 Ogos 1967 sempena ulang tahun ke-10 kemerdekaan negara.

Ia mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan pengeluaran berita pertama mengenai pelancaran perkhidmatan berita Bernama oleh Menteri Penerangan dan Penyiaran ketika itu, Tan Sri Senu Abdul Rahman.

Agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu kini mempunyai lebih 1,000 petugas tetap, kontrak dan sambilan di dalam dan luar negara.

Sepanjang 50 tahun kewujudannya, Bernama telah meluaskan sayapnya dalam dunia penyampaian dan perkongsian berita dalam negara dan peringkat antarabangsa melalui pelbagai platform seperti Bernama.com, Bernama News Channel (BNC), Bernama Radio dan yang terbaru Meja Multimedia.

Sempena jubli emas itu, beberapa artikel dan temu bual eksklusif mengenai Bernama turut diterbitkan selain pelancaran setem korporat khas Bernama yang menyaksikan 10,000 setem dicetak dan dijual pada harga 60 sen setiap satu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast