Dr. Mahathir Mohamad SAFWAN MANSOR

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mendedahkan ada penyokong dalam partinya menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mahathir dalam entri blognya menyedari ada golongan sebegitu setelah mendapati ada pihak cuba untuk menggagalkan usaha beliau untuk menjatuhkan Najib.

“Mereka yang mendakwa mereka sokong saya, sebenarnya adalah musuh saya yang berjuang untuk Najib. Jika mereka teruskan usaha ini saya bersetuju mereka dikeluarkan dari parti. Penyokong Najib tidak ada tempat dalam PPBM,” tulis Mahathir.

Mengakui bahawa masih terdapat penyokong yang ramai, hal itu membuatkan ramai pihak daripada PPBM menggunakan namanya demi kepentingan peribadi mereka semata-mata.

Menyedari hakikat itu, Mahathir berkata, tindakan golongan terbabit secara langsung atau tidak langsung akan memesongkan tumpuan ahli PPBM daripada usaha menjatuhkan Najib kepada masalah baru dalam parti.

“Sekarang ia (kemelut dalaman parti) sudah naik ke tahap menolak kepimpinan tertinggi parti. Kononnya Tan Sri Muhyiddin Yassin patut disingkir sebagai presiden parti. Kononnya dia mengguna saya untuk kepentingan dirinya. Kononnya dia ingin dapat jawatan tertentu baginya.

“Kita semua tahu bahawa amatlah sukar untuk memujuk pemimpin UMNO, terutama yang memegang jawatan dalam kerajaan menjadi menteri terutamanya meninggalkan UMNO.

“Kalau meninggalkan pun atau menjadi bekas menteri, tidak sanggup mereka menyertai gerakan melawan UMNO. Sudah tentu mereka tidak berani mendekat diri dengan parti seperti PPBM yang secara lantang mendesak supaya Najib disingkir,” jelas bekas perdana menteri itu lagi.

PPBM sebelum ini dilanda kemelut dalaman apabila bekas pengasas parti itu, Kamarul Azman Habibur Rahman bertindak meninggalkan PPBM sebulan lalu atas alasan kecewa dengan amalan kronisme dan pilih kasih dalam parti. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast