Pemilik dan Pengasas Dzulldeclassique Original, Zulkifli Rahmat menunjukkan antara baju melayu yang boleh didapati di Butik Dzulldeclassique, Kajang. foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2017.

KAJANG – Siapa tidak kenal dengan nama Butik Dzulldeclassique yang cukup popular dengan rekaan pakaian terutamanya di kalangan golongan lelaki untuk membuat baju Melayu.

Memang tidak dapat dinafikan, butik itu sentiasa terlintas diminda bagi mereka yang ingin mencari baju Melayu eksklusif, selesa dipakai dan berpotongan cantik serta kemas.

Justeru tidak hairan butik yang terletak di Jalan Reko di sini itu menjadi pilihan utama pelbagai lapisan golongan masyarakat daripada yang berpendapatan sederhana hingga yang tinggi.

Apatah lagi, baju-baju Melayu rekaannya itu sering terpampang di majalah-majalah, dipakai pula oleh golongan VIP dan artis-artis sekali gus jenama Dzulldeclassique kekal bertahan sehingga hari ini.

Pemiliknya, Zulkifli Rahmat juga berani tampil dengan idea terkini mengikuti arus masa dengan mencuba menghasilkan rekaan-rekaan baju Melayu yang lain daripada yang lain dan tidak terikat dengan rekaan tradisional.

Pemilik dan Pengasas Dzulldeclassique Original, Zulkifli Rahmat menunjukkan antara baju melayu yang boleh didapati di Butik Dzulldeclassique, Kajang. foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2017.

Menjelang sambutan Aidilfitri bulan depan, beliau yang memiliki pengalaman sebagai tukang jahit selama 18 tahun mengakui tidak menang tangan menerima tempahan sejak dua bulan lalu.

“Tempahan pada tahun ini amat menggalakkan dan saya menerimanya mengikut kemampuan. Saya tidak boleh tamak dengan mengambil sahaja tempahan hingga terlalu banyak dan akhirnya tidak mampu menyiapkannya nanti sekaligus mengecewakan hati pelanggan.

“Jadi saya perlu mengukur kemampuan saya dengan membuat perancangan dengan teliti. Seperti tahun lalu, tempahan baju Melayu sentiasa meningkat dan saya akan pastikan jika menerima tempahan yang banyak, tenaga kerja saya mencukupi,” katanya yang turut menerima tempahan untuk jubah, kurta, baju kemeja dan seluar panjang.

Pemilik dan Pengasas Dzulldeclassique Original, Zulkifli Rahmat menunjukkan antara baju melayu yang boleh didapati di Butik Dzulldeclassique, Kajang. foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2017.

Bapa kepada tiga orang anak itu juga tidak melihat senario ekonomi yang dikatakan tidak baik memberi kesan kepada tempahan baju Melayu pada tahun ini.

Jelasnya, orang ramai sentiasa mahu berpakaian baju Melayu baharu di pagi hari raya yang wajib disambut meriah setahun sekali sahaja.

“Lagipun butik saya mengenakan harga mampu milik kepada semua lapisan masyarakat sama ada mereka tukang kebun hingga yang bergelar Datuk datang menempah baju Melayu,” katanya berterus-terang.

Ditanya tema dan warna tempahan baju Melayu yang menjadi pilihan Aidilfitri tahun ini, Zulkifli, 40, memberitahu pelanggan lebih gemar kepada potongan yang ringkas, tiada dua nada warna serta tiada lagi tampalan batik dan songket.

Ruang dalam yang kemas dan teratur disenangi pelanggan yang ingin membuat pilihan baju di Butik Dzulldeclassique, Kajang. foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2017.

“Warna pula mereka pilih yang lembut seperti biru muda, hijau muda dan peach. Bagaimanapun warna hijau emerald dan biru diraja masih menjadi pilihan utama.

“Harga upah membuat baju Melayu yang dikenakan bermula serendah RM150 manakala harga harga pakej upah dan material bermula RM250,” katanya yang terkenal dengan sikap peramah dengan para pelanggan.

Zulkifli memulakan perniagaan membuat baju Melayu pada tahun 1993 sebelum menyewa di Arked Mara Kajang dua tahun kemudian.

Beliau yang kini boleh dianggap jutawan berpindah ke bangunan baru di Jalan Reko pada tahun lalu.

Kedai lama itu telah diubah suai sebagai butik pakaian wanita sebagai antara langkahnya untuk cabang perkhidmatan Butik Dzulldeclassique pada masa akan datang. – MalaysiaGazette

Antara baju melayu moden yang terdapat di Butik Dzulldeclassique, Kajang. foto HAZROL ZAINAL, 11 MEI 2017.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast