LONDON – Polis mengesahkan 19 maut dan kira-kira 50 orang cedera k dalam kejadian letupan yang berlaku di konsert bintang pop, Ariana Grande di Manchester, England malam tadi.
Ariana, 23, adalah penyanyi yang memulakan kariernya dalam siri Nickelodeon TV dalam rangka promosi album yang bertajuk Dangerous Woman.
Setakat ini tidak ada sebarang kenyataan daripada polis berhubung punca letupan itu tetapi tidak menolak mengaitkannya dengan serangan pengganas yang pernah berlaku di Paris pada November 2015.
Serangan maut itu berlaku semasa berlangsungnya konsert Eagles of Death Metal.
Para penonton mendakwa terdengar bunyi seperti letupan pada konsert yang diadakan di Manchester Arena itu.
Seorang penonton, Sasina Akhtar berkata, dia terdengar bunyi letupan di belakang arena selepas lagu terakhir.
Ia berlaku kira-kira 10.45 malam.
“Saya ternampak remaja-remaja perempuan berlumuran darah dan semua orang menjerit dan berlari,” katanya kepada The Manchester Evening News.
Pengurus Publisiti Ariana, Joseph Carozza mengesahkan penyanyi itu dalam keadaan baik dan pihaknya sedang menyiasat apa yang sebenarnya berlaku.
Polis telah menutup kawasan tersebut dan helikopter digunakan untuk mengawasi lokasi berkenaan.
Seorang saksi yang menunggu isteri dan anak perempuannya di luar Manchester Arena memberitahu, letupan itu menyebabkan bangunan tersebut bergegar.
“Letupan seolah-olah dari tempat tiket,” katanya.
Seorang lagi penonton, Hannah Dane berkata, beliau mendengar bunyi letupan kuat dari dalam Manchester Arena.
“Ia menggegarkan, semua orang menjerit dan bertindak keluar,” ujarnya. – MalaysiaGazette