Datuk Seri Hamzah Zainudin. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 10 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Kerajaan bertegas tidak akan menaikkan harga gula walaupun terdapat permintaan daripada pengeluar gula untuk berbuat demikian, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ini kerana kerajaan baru sahaja menaikkan harga gula kepada 11 sen pada Mac lepas serta harga gula di pasaran dunia juga menurun, katanya.

Beliau berkata kerajaan menaikkan harga gula pada masa itu kerana ketika itu harga gula di pasaran global berada pada kadar US$0.22 hingga US$0.23 sen per paun.

“Kenapa saya perlu berbuat demikian apabila harga gula di pasaran dunia menurun,” katanya merujuk kepada harga gula di pasaran dunia kini yang berada pada kadar US$0.17 sen per paun.

Hamzah berkata demikian sebagai mengulas permintaan pengilang gula MSM Malaysia Holdings Bhd untuk menaikkan harga gula kepada 29 sen ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan kementerian di sini hari ini.

Menurutnya, pihak pengurusan tinggi syarikat MSM Malaysia termasuk ketua pegawai eksekutifnya telah bertemu dengan beliau baru-baru ini untuk membincangkan perkara tersebut.

“Saya secara tegas beritahu harga gula tidak boleh dinaikkan kecuali syarikat itu mengalami kerugian besar-besaran.

Tetapi MSM Malaysia merekodkan keuntungan dan ia adalah tidak adil sekiranya kerajaan menaikkan harga gula agar mereka boleh lipat ganda keuntungan,” katanya.

Hamzah turut melancarkan kempen #janganlebihlebih menjelang sambutan bulan Ramadan dan Aidilfitri, dengan video kempen berdurasi 20 saat setiap satu dalam tiga siri meningkatkan kesedaran pengguna agar tidak membazir dan berbelanja secara sederhana.

Pada majlis sama, Hamzah juga menyaksikan perjanjian persefahaman (MoU) antara Maktab Koperasi Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran untuk memperkasakan pengurusan gerakan koperasi di negara Ini.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast