LAHAD DATU – Jika ada jodoh, Mohd Zulkifli Jefri, 54, iaitu rakyat Malaysia yang terkandas di Kemboja selama 24 tahun itu tidak menolak ketentuan jika disatukan kembali dengan bekas tunangnya Musyahadah Hassan, 46, dalam tempoh terdekat ini.
Bagaimanapun, dia berkata keputusan itu perlu mengambil kira persetujuan tiga anaknya, Mohd Abadi, 29, Mohd Asmadi, 28 dan Syakila, 25, hasil daripada perkahwinan dengan bekas isterinya pada 1987.
“Kita mahu pendapat anak-anak juga�saya sendiri, jika semua anggota keluarga setuju, saya terima kerana saya tidak mahu melukakan hati dan perasaan anak-anak dan jika mereka bersetuju saya akan teruskan,” katanya kepada Bernama di sini.
Mohd Zulkifli dan Musyahadah mempunyai hubungan kekeluargaan dan bertunang pada 1980 sebelum memutuskan untuk berkahwin dengan bekas isterinya.
Dalam pada itu, abangnya, Mohd Said Jefri, 57, berkata rancangan menyatukan adiknya dengan Musyahadah itu telah dibincangkan dan dipersetujui keluarga kedua-dua belah pihak.
“Musyahadah sendiri tidak pernah mendirikan rumah tangga, mungkin ini jodoh mereka, ” katanya sambil menambah jika tiada halangan rancangan perkahwinan itu akan diteruskan pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Sementara itu, ketibaan Mohd Zulkifli di kampung halamannya di Tambisan dekat sini, petang semalam disambut dengan kegembiraan oleh anak-anak dan seluruh anggota keluarganya.
Anak keduanya, Aswadi berkata peluang mendakap ayahnya kembali seperti bermimpi, kerana sejujurnya dia dan adik-beradiknya yang lain menyangka ayahnya telah meninggal dunia.
“Kami juga pernah membuat tahlil di masjid kerana menganggap beliau sudah tiada,” katanya lagi.
Syakila (anak ketiga) pula menyifatkan Allah memakbulkan doanya untuk bertemu dengan ayahnya selepas ditinggalkan tanpa khabar berita ketika berusia dua tahun.
“Saya tidak pernah terbayang wajah ayah dan tidak terfikir bila dapat cium, peluk ayah…pertemuan ini macam ndak (tidak) percaya.
“Tapi dalam hati, saya sentiasa berharap dapat jumpa beliau walaupun tidak tahu rupa dan Alhamdulillah, Tuhan kabulkan doa kami,” katanya dengan nada sebak.
Pada Sabtu, Mohd Zulkifli yang sebelum ini dilaporkan terkandas di Kemboja kerana ketiadaan dokumen perjalanan, disambut oleh empat anggota keluarganya termasuk bapa saudaranya, Mustapah Ali, 57, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).
— BERNAMA