Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menyerahkan sumbangan pada Majlis Sumbangan Peribadi untuk Moreh dan Wang Keceriaan kepada Masjid dan Surau di Dewan UMNO Bahagian Lembah Pantai, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 24 MEI 2017.

KUALA LUMPUR – UMNO Lembah Pantai menolak sekiranya ada dakwaan bahawa sumbangan ketika bulan Ramadan yang bakal diberikan oleh kerajaan kepada orang ramai sebagai cara untuk memancing undi.

Berikutan PRU yang dijangka selepas Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik mengingatkan bahawa pemberian sumbangan ketika Ramadan merupakan amalan lazim bagi pemimpin-pemimpin parti.

“Saya buat perkara ini sejak 20 tahun lepas. Jadi ini bukan satu amalan untuk PRU. Kita bukan macam pembangkang, dekat PRU macam ni dia lagi kerap memancing undi.

“Bukan musim PRU pun kita akan bagi sumbangan-sumbangan sebegini. Jadi, kalau orang nak kata kita pancing, tetapi kenapa mereka buat kerja ketika musim PRU saja?” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan peribadi untuk moreh dan wang keceriaan kepada masjid dan surau di Dewan UMNO Bahagian Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Tambahnya, amalan tersebut merupakan simbolik kepada penyatuan ummah dalam kalangan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Mesej saya, apabila saya turun ke masjid-masjid dan surau, sebagai wadah penyatuan di kalangan umat kita. Jangan ada yang berpecah. Pada tahun ini nampak lebih baik kerana pemimpin kita di kalangan beragama Islam, mula bersatu dalam perkara-perkara tertentu. Oleh itu, kita di peringkat akar umbi juga buat perkra sama.”

Ketika ditanya sama ada beliau bersedia mengahadapi PRU yang akan datang, katanya, meskipun kalah di tangan Nurul Izzah pada PRU lepas, beliau sentiasa untuk merampas kembali kerusi Lembah Pantai.

“Kita sentiasa bersedia, bukan saja ketika musim pilihan raya, tetapi bila-bila masa. Walaupun saya tidak berjaya pada PRU yang lepas, saya terus melakukan kerja, memberi khidmat kepada penduduk Lembah Pantai,” katanya. – MalaysiaGazette