SERDANG – Bekas Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Dr. Zahri Aziz dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri Selangor bagi tahun 2017.
Beliau bersama tiga yang lain dipilih panel penilai Jabatan Pendidikan Selangor berdasarkan sumbangan dan jasanya dalam pendidikan di negeri itu.
Tiga lagi yang turut menerima anugerah sempena sambutan perayaan Hari Guru peringkat Selangor ialah Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, Petaling Jaya, Datin Noorul Aini Ambak; bekas Master Trainer Institut Aminudin Baki, Datin Zaleha Abu Hassan; dan Bendahari Majlis Guru Besar Sepang, Pat Yoon.
Mereka menerima hadiah daripada Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Dr. Zahri ketika ditemui melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada kerajaan termasuk Jabatan Pendidikan Selangor kerana memilih beliau sebagai Tokoh Kepimpinan Pendidikan Negeri Selangor.
Katanya, ketika masih berkhidmat sebagai warga pendidikan bermula tahun 1977, beliau mengabdikan dirinya sepanjang masa tanpa mengira ranjau dan duri demi untuk memastikan anak didiknya menjadi insan berjaya.
“Bagi saya, tanpa guru siapalah saya. Begitu juga tanpa anak didik, saya tidak akan berada di sini,” katanya. – MalaysiaGazette