Abdul Khalid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar tiga Exco Pas di Selangor dikekalkan adalah isyarat kepada kerajaan negeri agar menunaikan manifesto yang telah dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum ke-13.

Sehubungan itu, bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berpandangan, adalah menjadi tanggungjawab ketiga-tiga Exco yang berkenaan melaksanakan fungsi supaya manifeso Pakatan Rakyat (PR) khususnya penstrukturan semula industri air Selangor direalisasikan.

“Saya juga amat berharap agar mereka bertiga akan mengotakan janji di dalam Manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada Pilihanraya 2013 yang lalu, khususnya dalam usaha memuktamadkan penstrukturan semula industri air Selangor kerana itulah yang menjadi sebab utama rakyat Selangor memberikan mandat yang besar untuk terus mentadbir negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiga exco Pas dikekalkan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas meneliti segala aspek terutama dari sudut kestabilan pentadbiran kerajaan negeri serta memelihara kepentingan rakyat.

Oleh itu, Khalid berkata beliau amat berharap agar kerajaan negeri mengkaji semula keputusan untuk membayar syarikat konsesi SPLASH sebanyak RM2.8 bilion iaitu lebih sepuluh gali ganda daripada nilai ekuiti asal.

“Exco Pas ini (Zaidy Abdul Talib) juga diharapkan dapat menyiasat dakwaan awam bahawa terdapat salahguna kuasa dalam aktiviti perlombongan pasir dan aktiviti perlombongan pasir haram yang kian berleluasa di negeri ini.

“Tambahan pula kita turut dikejutkan dengan berita terdapatnya manipulasi di dalam penjualan hartanah milik kerajaan yang hanya menguntungkan syarikat-syarikat Pemaju serta tidak memberi manfaat yang sepatutnya kepada kerajaan negeri,” katanya lagi.

Isu SPLASH menjadi hangat tahun lalu apabila Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menawarkan bayaran RM2.975 bilion bagi pengambilalihan ekuiti syarikat konsesi air itu yang menimbulkan kemarahan BN dan juga Khalid. -MalaysiaGazette.