PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak menolak kemungkinan meminda Akta Maktab Kerjasama (Perbadanan) 1968 (Pindaan) 2011 bagi membolehkan Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dijenamakan semula.
Menteri berkenaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, proses untuk meminda Akta A1398 itu, masih dalam perbincangan dan akan dimaklumkan ke jemaah menteri.
“MKM juga dalam proses untuk meminda aktanya bagi menjenamakan MKM agar menjadi Institut Koperasi Malaysia supaya dapat memainkan peranan yang lebih besar menerajui kebitaraan latihan dalam bidang koperasi di negara ini dan menjadi hab rujukan koperasi di rantau Asia Pasifik.
“Sehubungan itu, MKM telah melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dengan Jabatan Kemahiran Malaysia bagi memberikan nilai tokok kepada kursus MKM agar lebih bernilai dan eksklusif,” katanya dalam Majlis Konvokesyen MKM kali ke 21 di Dewan Serbaguna KPDNKK hari ini.
Ucapan Hamzah dibacakan Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh.
Seramai 123 graduan MKM menerima Diploma Pengurusan Koperasi (DPK) hari ini.
Dibawah akta tersebut, MKM diperuntukkan sebagai sebuah institusi yang berfungsi untuk membangun dan mengembangkan latihan dan pendidikan koperasi di negara ini.
MKM sebelum ini berfungsi untuk menyediakan kursus pengajian koperasi dan bidang-bidang lain yang berkaitan serta menganugerahkan sijil atau diploma kepada graduannya.
Malah MKM turut menerbit dan membantu dalam penerbitan bahan yang berkaitan dengan koperasi.
Dua tahun lalu, KPDNKK merancang penubuhan sebuah universiti swasta dikenali sebagai Universiti Perdagangan dan Koperasi (UTRAC) khusus bagi melahirkan pakar dalam bidang pengurusan koperasi dan perdagangan.
Universiti terbabit dibangunkan dengan kos sebanyak RM500 juta itu bakal menawarkan subjek berkaitan perdagangan, koperasi dan kepenggunaan. -MalaysiaGazette.