Salah sebuah bangunan kementeian yang dibakar oleh para penunjuk perasaan di Brazil. foto Bloomberg

RIO de JANEIRO – Penunjuk perasaan di Brazil yang marah dan menuntut Presiden Michel Temer letak jawatan bertindak ganas dengan membakar Kementerian Pertanian dan telah merosakkan beberapa bangunan kementerian lain.

Pihak berkuasa Brazil menganggarkan sekitar 35,000 orang berarak di ibu negara.

Tentera sedang digunakan untuk mempertahankan bangunan-bangunan kerajaan dan menempatkan polis di jalan-jalan utama.

Penunjuk perasaan menuntut peletakan jawatan Temer, melaksanakan pemilihan semula dan menarik balik pembaharuan ekonomi yang dirancang.

Temer didakwa dengan pertuduhan rasuah yang baharu pada minggu lalu dan berhadapan dengan tekanan untuk melepaskan jawatan.

“Terdapat pencerobohan pintu masuk peribadi di kementerian. Mereka menyalakan api di dalam bilik, memecahkan foto dalam galeri bekas menteri dan melakukan konfrontasi dengan polis,” kata seorang jurucakap.

Terdapat pertempuran antara polis dan penunjuk perasaan dan media tempatan melaporkan seorang cedera dan beberapa lagi telah ditahan.

Demonstrasi dirancang bermula secara aman sekitar tengah hari sebelum pertempuran dengan polis meletus.

Polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan dan rakaman video menunjukkan orang ramai memecahkan tingkap.

Minggu lepas, testimoni dikeluarkan oleh Mahkamah Agung Brazil mendakwa Temer telah mengambil berjuta-juta dolar dalam rasuah sejak 2010.

Pengakuan dakwaan rasuah Temer itu dibuat oleh penguasaha-pengusaha firma gergasi pembungkusan daging.

Temer berikrar untuk membuktikan dia tidak bersalah dan kekal sebagai presiden semasa berbuat demikian.

Sabtu lalu, Temer memfailkan petisyen supaya siasatan terhadapnya digantung, tetapi keputsan adalah sebaliknya. – MalaysiaGazette