WASHINGTON – Menantu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, Jared Kusher yang merupakan penasihat kanan White House kini sedang berada di bawah siasatan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bagi siasatan kes campur tangan Rusia semasa pilihanraya presiden Amerika Syarikat yang lalu.

Dalam laporan Washington Post dan NBC News, Kushner disiasat kerana pernah mengadakan beberapa mesyuarat pada Disember serta berinteraksi dengan duta Rusia serta seorang pegawai bank dari Moscow.

Beliau merupakan satu-satunya pegawai White House yang diketahui sebagai individu utama di dalam siasatan tersebut.

Siasatan terhadap Kushner tidak bermaksud bahawa para penyiasat mengesyaki beliau telah melakukan kesalahan tersebut atau berhasrat untuk mendakwanya, kata seorang pegawai kepada NBC.

Salah seorang peguam Kushner, Jamie Gorelick dalam satu kenyataan berkata, anak guamnya itu akan memberi kerjasama untuk membantu siasatan.

“Sebelum ini Kushner dengan sukarela berkongsi dengan Kongres mengenai apa yang beliau tahu mengenai mesyuarat-mesyuarat tersebut.

“Beliau akan melakukan perkara yang sama sekiranya dihubungi untuk membantu siasatan,” katanya.

FBI dan White House tidak memberi maklum balas segera bagi menjawab kenyataan tersebut.- MalaysiaGazette