Monday, December 2, 2024
Home Utama Elemen TVET diperkenalkan kepada murid Tahun Satu pada 2027

Elemen TVET diperkenalkan kepada murid Tahun Satu pada 2027

Gelagat murid tahun satu pada hari pertama sesi persekolahan baru ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khai Chee, Segambut. Foto HAFIZ SOHAIMI, 01 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan elemen Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bermula daripada Tahun Satu sekolah rendah menerusi kurikulum persekolahan 2027.

Timbalan menterinya, Wong Kah Woh berkata, usaha itu akan dilaksanakan secara pembelajaran bersepadu yang menggabungkan bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.

“Pembelajaran dilaksanakan berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi dan digital dalam pelbagai bidang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) mengenai sama ada KPM berhasrat memperkenalkan laluan program TVET seawal usia Tingkatan Satu bagi memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran yang mereka minati.
Wong berkata. kandungan, kemahiran dan nilai daripada pelbagai bidang teknologi dan digital akan dikembangkan lagi kepada murid di peringkat menengah rendah iaitu Tingkatan Satu, Dua dan Tiga bagi mengenali potensi diri, seterusnya mendorong minat mereka dalam bidang TVET.
“KPM yakin, melalui inisiatif yang dilaksanakan mampu memberi pendedahan awal dan memberi peluang kepada murid memilih bidang TVET selepas tamat pendidikan menengah rendah iaitu tamat Tingkatan Tiga,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast