Pasukan polis membantu mengeluarkan para penonton konsert dari Manchester Arena selepas letupan berlaku di situ. foto Agensi

LONDON – Bom kedua mungkin siap walaupun tidak dijumpai oleh polis demikian lapor media Britain apabila pihak berkuasa di negara itu menyiasat pengebom di Manchaster.

Polis telah menahan seorang lelaki pada Jumaat di Moss Side, individu kesepuluh yang ditahan manakala dua daripadanya telah dibebaskan tanpa pendakwaan, kata polis Greater Manchaster di dalam satu posting Twitter.

Pada Jumaat, polis telah menggeledah sebuah kedai gunting rambut di Moss Side yang mana pihak polis telah mengepung kawasan yang merangkumi empat hartanah, sebuah kedai perkakasan, farmasi dan kafe selain kedai gunting rambut berkenaan.

Bagaimanapun tidak diketahui sama ada terdapat penahanan tambahan dibuat.

Sehari sebelum itu, polis telah menggeledah beberapa rumah di Manchester termasuk milik pengebom Salman Abedi di Elmsmore Road dan sebuah pangsapuri di mana beliau tinggal di Granby House, Granby Row sebelum pihak polis menemui bahan-bahan untuk menghasilkan bom.

Pangsapuri yang disewa itu terletak kurang 3.2 kilometer daripada Manchester Arena di mana serangan pada malam Isnin itu dilakukan.

Seorang sumber keselamatan memberitahu, bahan-bahan tersebut mencukupi untuk membuat dua atau tiga bom lagi.

Abedi dilaporkan berada di pangsapuri di Granby House pada jam 7 petang pada malam kejadian.- MalaysiaGazette