Datuk Saifudin Abdullah.
Saifuddin Abdullah.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mahu menumpukan PRU-14 terlebih dahulu sebelum berbincang siapa dalam kalangan pemimpin mereka layak menjadi perdana menteri.

Soal siapa perlu dilantik menjadi perdana menteri sama ada penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sebaliknya, PH perlu memastikan parti itu berjaya memenangi kerusi majoriti dalam Dewan Rakyat terlebih dahulu, sebelum membincangkannya.

Ini dinyatakan Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah yang mahu semua pemimpin komponen PH memberi tumpuan untuk memenangi kawasan Parlimen yang dipertandingkan nanti.

“Selepas menang, dapat kerusi dua per tiga, baru kita bincang siapa untuk dilantik sebagai perdana menteri.

“Bagaimanapun, kita menghormati mana-mana parti komponen yang menamakan lebih awal calon perdana menteri, tetapi yang penting kita kena tumpukan PRU dahulu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan melantik Anwar sebagai perdana menteri pada Kongres Nasional Tahunan PKR ke-12 di Shah Alam minggu lalu.

Dalam kongres itu, perwakilan dan pemimpin PKR mengangkat plakad yang tertera tulisan “Anwar PM ke-7”.

Malah, Angkatan Muda Keadilan (AMK) turut berhasrat mengusulkan kepada parti dan PH bagi menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri dalam PRU-14.

Menurut Saifuddin, hak mana-mana parti berbuat demikian, tetapi di peringkat induk belum berbincang mengenainya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Salahuddin Ayub ketika mengulas perkara itu semalam berkata, belum tiba masanya untuk Anwar memegang jawatan perdana menteri sekiranya PH memenangi PRU14.

Menurutnya, parti komponen pembangkang itu harus bijak merancang strategi untuk mendapatkan kepercayaan rakyat mengundi mereka pada PRU akan datang.

Justeru katanya, nama lain perlu diletakkan terlebih dahulu untuk jawatan PM ketujuh dan individu itu bukanlah Anwar. – MalaysiaGazette