KUALA LUMPUR – Penyanyi To’ki menafikan sekeras-kerasnya dia pernah menjadi pengemis di jalanan seperti yang didakwa segelintir masyarakat.
To’ki, 50, bagaimanapun mengaku dia sering meminjam wang dengan rakan-rakan gara-gara hidup yang terdesak.
To’ki atau nama sebenarnya, Mohd. Zaki Mansur juga memberitahu, orang mungkin menganggap dia seperti pengemis disebabkan penampilannya yang sering tidak terurus.
“Saya hidup susah sejak tiga tahun lalu kerana studio saya dimasuki perompak dan semua peralatan muzik seperti gitar untuk saya mencipta lagu telah hilang.
“Saya tidak malu mengaku kadang-kadang saya sampai tidak ada wang hendak beli beras. Saya hendak kerja apa lagi, hanya boleh buat lagu, menyanyi, suara iklan dan jaga vokal penyanyi lain.
“Itu sahaja sumber pendapatan saya dan sebab itu bila tiada studio, hidup saya jadi susah,” katanya.
To’ki berkata demikian pada sidang media anjuran Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) di sini petang tadi.
Sidang media itu diadakan hasil inisiatif YA1M diketuai Presidennya, Datuk DJ Dave bagi menjelaskan gambar To’ki yang dikatakan tidak terurus dan menjadi pengemis yang kini menjadi tular di laman sosial.
Sementara itu, To’ki turut menegaskan dia bukan lagi penagih dadah kerana sudah berhenti menghisap benda terlarang itu.
“Saya sudah lama berhenti hisap dadah sejak 18 tahun lalu. Kini saya bergantung dengan ubat Suboxone bagi hilang ketagihan dengan harga RM13.
“Namun saya mengaku hidap dadah sejak umur 15 tahun dan saya kena buang UiTM kerana dadah,” katanya yang kini telah menyiapkan dua lagu baharu sebagai single selepas Aidilfitri ini.
Dalam pada itu, DJ Dave meminta masyarakat tidak membuat fitnah dengan menggambarkan To’ki pernah menjadi pengemis.
Jelas beliau, maruah seorang artis perlu dijaga dan masyarakat perlu sedar hidup sebagai anak seni mempunyai putaran seperti roda.
“YA1M akan membantu mencari persembahan untuk To’ki dan akan berbincang dengan Ahli Lembaga lain untuk mengadakan konsert seperti yang dilakukan kepada Ben Nathan sebelum ini,” katanya. – MalaysiaGazette