PUTRAJAYA – Pengerusi Pasukan Petugas Khas yang menjalankan siasatan berkenaan kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1990-an, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata tiada lagi individu yang akan dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung isu itu.
“Kami telah panggil semua pihak yang sepatutnya beri keterangan,” katanya kepada media selepas selesai mendapatkan keterangan daripada bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini.
Ditanya ada lagi yang akan dipanggil, Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) itu hanya menjawab: “Cukup setakat ini” (proses ambil keterangan).
Pendedahan skandal forex BNM kembali diperkatakan setelah bekas Penolong Gabenor Bank Negara, Datuk Abdul Murad Khalid tampil menjelaskan isu berkenaan selepas 25 tahun.
Semasa pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, negara dipercayai kerugian US$10 bilion atau RM33 bilion pada 1993 ekoran aktiviti spekulasi mata wang asing.
Nor Mohamed mengambil masa selama 45 minit dalam sesi soal siasatan yang dikendalikan Mohd Sidek.
Antara individu lain yang dipanggil Pasukan Petugas Khas adalah bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang. -MalaysiaGazette