JAKARTA – Syarikat minyak dan gas milik kerajaan Indonesia, Pertamina mencatatkan penyusutan keuntungan sebanyak 24.75 peratus kepada AS$760 juta pada suku pertama tahun ini berbanding AS$1.01 bilion tempoh sama tahun lalu.

Penyusutan itu didorong oleh peningkatan harga bahan mentah.

Harga minyak mentah melonjak sebanyak 59.3 peratus kepada AS$51 setong berbanding AS$32 setong dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Presiden Pertamina, Elia Massa Manik berkata, perolehan syarikat bagaimanapun meningkat sebanyak 18.71 peratus kepada AS$10.1 bilion berbanding AS$8.55 bilion sebelumnya.

“Perolehan meningkat 19 peratus sahaja dan kebanyakannya disumbang oleh jualan produk tidak disubsisi di sebalik peningkatan harga minyak mentah.

“Peningkatan dalam harga minyak mentah juga telah menyebabkan pendapatan bersih merosot.

“Kami tidak boleh melepaskan peningkatan (harga minyak) kepada rakyat,” katanya.

Keseluruhan perbelanjaan modal sepanjang suku dalam kajian melonjak sebanyak 208.3 peratus kepada AS$1.1 bilion daripada AS$360 juta berikutan kebanyakan projek yang dilaksanakan pada tahun 2016 telah diberi bayaran bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini.- MalaysiaGazette