KUALA LUMPUR – Mangsa buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Alor Gajah masih trauma selepas dibelasah oleh beberapa pelajar senior di asrama sekolah itu.

Cuma, keadaannya bertambah baik berbanding beberapa hari selepas kejadian tersebut.

“Selepas kami bawa dia balik ke rumah pada hari kejadian, anak saya cukup sedih. Walaupun dia tidak menunjukkan air mata di depan saya tetapi saya tahu dia menangis.

“Saya sendiri terdengar esakannya dalam curahan air ketika dia mandi. Dia pendiam, termenung dan kerap teringat kejadian dia dipukul,” katanya ibunya ketika ditemui di kediaman mereka.

Pada masa sama, anaknya tertekan kerana memikirkan persekolahannya yang tertangguh selepas kejadian berkenaan.

Kakitangan firma swasta itu memberitahu, dia dan suami banyak menenangkannya, memberi semangat kerana tidak mahu mangsa terus mengingati peristiwa ngeri itu.

Atas alasan itu, dia nekad untuk tidak membenarkan anak sulungnya kembali ke MRSM walaupun anaknya merayu beberapa kali.

“Kami lagi khuatir keselamatan dia. Cukuplah sekali kejadian itu menimpanya. Saya sendiri tidak mampu fikir bagaimana keadaan dia ketika dibelasah hari itu.

“Kalau boleh saya tidak mahu mengingatinya. Saya sedih, sayu melihat anak saya dibuat begitu sedangkan saya dan suami tidak pernah melayan anak macam tu,” ujarnya sedih.

Ibu mangsa mengakui Majlis Amanah Rakyat (Mara) bersedia menempatkan anaknya di mana-mana MRSM pilihan mereka tetapi tawaran itu telah ditolak.

“Saya takut. Lagipun, di sekolah itu (MRSM Alor Gajah) ada pelajar bermasalah dari MRSM lain ditempatkan di Alor Gajah. Tidak mustahil ia berlaku di MRSM lain,” dakwa beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast