Tertuduh membuat pengakuan itu setelah kertas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Noorasyikin Sahat.
Gambar hiasan

PULAU PINANG – Lima lagi lelaki termasuk seorang bergelar ‘Datuk’ didakwa di dua mahkamah berasingan di sini hari ini atas tuduhan menjadi ahli jenayah terancang ‘Geng 24 Pulau Pinang’ sejak dua tahun lalu.

Kesemua tertuduh mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Norsalha Hamzah dan Irwan Suaibon.

Bagaimanapun tiada sebarang kenyataan direkodkan daripada kesemua tertuduh iaitu Datuk Koh Thiam Hua, 38; Lim Boon Hooi, 40; Toh Kae Luen, 26; Koh Thiam Hua, 38; Chan Yi Heng, 22 dan Harry Tan Cheng Yu, 31.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng 24 Pulau Pinang’ di sekitar daerah Timur Laut di sini antara 1 Januari 2015 dan 6 Mei lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut subseksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dalam masa sama, Timbalan Pendakwa Raya, Lim Cheah Yit tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kes berkenaan termasuk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Beliau juga memohon mahkamah membenarkan perbicaraan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sementara itu, tiga daripada mereka iaitu Kae Luen; Thiam Hua dan Yi Heng diwakili masing-masing peguam Muhamad Abd. Hamid; Mohd. Zulfiqri Zakaria dan V.S. Reveentharan manakala dua lagi tidak diwakili peguam.

Pada Januari lalu, seramai 22 anggota kongsi gelap sama termasuk seorang bergelar Datuk Seri turut didakwa atas tuduhan menganggotai kumpulan kongsi gelap tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast