Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini didesak memberi penjelasan berhubung tindakan Anggota Parlimen Subang, R. Sivarasa yang didakwa telah mencemarkan kesucian masjid apabila memberi ceramah berkaitan politik di Masjid An Nur Kampung Melayu Subang dekat sini, Rabu lalu.

Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim juga meminta Mohamed Azmin untuk memohon maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana tindakan anggota Parlimen itu melanggar titah baginda yang melarang masjid dijadikan tempat berpolitik.

“Tindakan anggota Parlimen Subang yang dilaporkan memberi ceramah politik telah menyebabkan Sultan Selangor murka serta dukacita dan perbuatan itu juga mencemarkan kesucian ibadah puasa pada bulan Ramadan yang mulia ini.

“Anggota Parlimen itu juga perlu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku dan bukannya memberi alasan selaku mewakili Menteri Besar Selangor untuk menyampaikan sumbangan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Haris Kasim dilaporkan sebagai berkata Sultan Sharafuddin murka dan dukacita terhadap tindakan anggota Parlimen itu yang didakwa memberi ceramah berkaitan politik di masjid berkenaan.

Menurut Haris, perkara itu dimaklumkan kepadanya secara peribadi oleh baginda sendiri yang turut menitahkan supaya JAIS mengambil tindakan segera terhadap nazir serta pihak penganjur.

Rabu lalu, Sivarasa dilaporkan memasuki masjid itu sebagai mewakili Menteri Besar Selangor, sebelum didakwa menyampaikan ceramah berkaitan politik ketika berada di dalam dewan solat.

Beberapa gambar kehadiran wakil rakyat PKR itu turut tersebar sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati pelbagai pihak.- BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast